REFLEKSI

ASSALAMULAIKUM…,
Syukur ke hadrat Illahi kerana diberikan peluang dan kesempatan yang mencukupi untuk menghasilkan blog bagi tugasan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (BMM3105). Ucapan ribuan terima kasih saya tujukan kepada pensyarah pembimbing  iaitu Encik Mohd. Firdaus Bin Abd. Salam yang banyak membantu, membimbing, menegur kami sepanjang menyiapkan blog ini. Tidak lupa juga rakan-rakan yang berkongsi idea dan buah fikiran yang sangat-sangat membantu untuk menyiapkan blog ini. Seperti yang kita sedia maklum, pengajaran dan pembelajaran kini mengalami banyak proses tranformasi. Pengaplikasian kaedah dan teknik terbaru banyak memberi peluang kepada guru dan pelajar menghasilkan sesuatu bahan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan penguasaan dan pencapaian selaras dengan perkembangan budaya masa kini.

Sejajar dengan perkembangan  itu, Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (BMM3105) merupakan satu proses pengajaran yang menjadi suatu yang penting dalam mencapai objektif pengajaran. Hal ini kerana, apabila kita menguasai teknologi komputer sepenuhnya kita akan dapat menghasilkan sesuatu bahan yang menarik dan berguna dalam pengajaran dan pembelajaran kita khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Oleh itu, bagi mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya perolehi  sepanjang menghasilkan tugasan membuat blog ini.

MINGGU PERTAMA  
        Pada minggu pertama, arahan tugasan amali yang perlu kami laksanakan ialah mencari  bahan-bahan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo dan sebagainya yang perlu disimpan dalam bentuk alamat internet dan katalog internet. Bagi alamat internet bahan-bahan yang diperolehi hendaklah dipindahkan ke dalam word begitu juga katalog internet tetapi perkara yang perlu ada ialah sinopsis, URL internet dan tajuk.

Melalui tugasan secara amali ini, banyak perkara yang saya pelajari antaranya ialah saya boleh menggunakan enjin carian yang pelbagai untuk mendapatkan maklumat dan bahan yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Saya yakin bahawa bahan tersebut boleh membantu saya semasa berada sekolah nanti sama ada sebagai bahan bantu mengajar (BBM) ataupun sebagai persediaan sebelum memulakan pengajaran.


MINGGU KEDUA
Tugasan amali yang perlu dilaksanakan pada minggu kedua ialah mencari dan memilih bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian di internet seperti google, yahoo, youtube dan sebagainya. Setelah itu, saya perlu mengkategorikan bahan-bahan tersebut kepada objektif iaitu bagi kemahiran lisan, membaca dan menulis. Bagi setiap kemahiran tersebut, bahan-bahan berbentuk teks, grafik, audio, dan video dimasukkan dalam folder bagi setiap kemahiran. Seperti yang kita sedia maklum, dalam kemahiran lisan aspek mendengar dan bertutur amat dititikberatkan. Justeru, bahan-bahan yang berbentuk grafik, audio dan video sebenarnya membantu dan akan menggalakkan murid-murid untuk mendengar dan bertutur. Dalam kemahiran membaca pula, bahan-bahan berbentuk teks dan video merupakan bahan yang paling sesuai untuk meningkatkan kemahiran membaca murid. Bagi kemahiran menulis pula, keempat-empat jenis bahan iaitu teks, grafik, audio dan video boleh digunakan dalam kemahiran menulis.

Melalui tugasan amali ini, banyak manfaat yang saya peroleh terutamanya dalam pengumpulan bahan-bahan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kesemua bahan yang dikumpul adalah mengikut kategori kemahiran bahasa iaitu lisan, membaca dan menulis dan dalam setiap kemahiran tersebut bahan -bahan yang dicari diasingkan mengikut objektif dalam  bentuk teks, grafik, audio dan video.

MINGGU KETIGA
Bagi minggu ketiga pula, tugasan yang perlu dilaksanakan ialah mencari dan memuat turun bahan yang mengandungi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet. Setelah itu, kami dikehendaki untuk memindahkan maklumat yang diperoleh itu ke dalam bentuk brosur dan Power Point yang tidak melebihi daripada 15 slaid.

Dalam pelaksanaan tugasan ini saya telah merujuk Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2003 iaitu Garis Panduan mengenai Tatacara Penggunaan Internet. Melalui analisis saya terhadap garis panduan tersebut saya dapat mengetahui bahawa internet merupakan infrastruktur saluran global dan merupakan punca maklumat yang tidak terkawal. Oleh sebab itu, ketepatan maklumat internet tidak dapat ditentukan. Justeru, sebagai penguna kita perlu memainkan peranan dan perlu bertindak secara bijak menilai kesahihan, ketepatan dan kesesuaian sesuatu maklumat yang diperolehi agar kerja yang dilaksanakan tidak menyimpang dari tujuan sebenar.

Selain itu, saya juga dapat mengetahui bahawa penggunaan internet dengan cara yang tidak bertanggungjawab adalah dianggap sebagai pelanggaran tatacara yang boleh mengancam keselamatan, keutuhan dan kerahsiaan maklumat, melemahkan sistem ICT dan pengurusan rekod elektronik, mengganggu sistem rangkaian ICT dan merosakkan imej Perkhidmatan Awam. Oleh yang demikian, bagi menjamin kemudahan internet digunakan dengan selamat, adalah wajar setiap agensi menentukan latihan yang bersesuaian, penggunaan teknologi yang kukuh dan dasar yang menyeluruh agar pelanggaran seumpamanya tidak berlaku.


Melalui pelaksanaan tugasan amali ini, terdapat tiga ilmu atau kemahiran yang saya pelajari iaitu ilmu mengenai tatacara dan etika penggunaan internet, kemahiran menggunanakan aplikasi Power point, dan kemahiran membuat brosur menggunakan aplikasi Microsoft Office Publisher. 

MINGGU KEEMPAT
Tugasan minggu keempat mengkehendaki kami mengedit video. Setiap pelajar diarahkan untuk mengedit video asal cerita Bawang Putih dan Bawang Merah menggunakan perisian Wondershare. Dalam pelaksanaan tugasan ini pelajar telah dibimbing oleh En. Firdaus B. Abd. Salam selaku pensyarah pembimbing bagi mata pelajaran BMM3053. Dalam perisian Wondersare ini terdapat pelbagai pengetahuan baharu yang sangat berguna dalam menghasilkan sesuatu yang baru sewaktu proses mengedit video. 

Di samping itu, pengetahuan baru sewaktu proses ini dilakukan banyak memberikan kami pengalaman yang sangat berguna kerana dalam perisian ini terdapat banyak aplikasi yang dapat digunakan sebagai pelengkap atau pun sebaliknya mengikut kreativiti masing-masing. Akhir sekali adalah memindahkan video yang telah selesai diedit ke dalam aplikasi video yang boleh digunakan seperti VLC, CINEMA, MP3, MP4, dan sebagainya mengikut pilihan kendiri setiap pelajar.

MINGGU  KELIMA
Tugasan minggu kelima mengkehendaki kami membina pakej pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pada saya, pembinaan laman web dan pakej tutorial ini tidak begitu menyukarkan. Melalui tugasan ini, banyak perkara dan kemahiran baharu yang saya perolehi dan akan tingkatkan untuk masa akan datang. Mungkin sebelum ini, saya hanya mengetahui bagaimana untuk membina blog peribadi atau membuat persembahan powerpoint untuk pembentangan di kelas sahaja. Namun, di akhir tugasan ini, saya mendapati terdapat perbezaan dalam membina laman web dan pakej pembelajaran ini dari pelbagai aspek. Laman web yang dibina adalah bertujuan untuk perkongsian ilmu dengan rakan dan penggunan internet yang lain. Manakala, pakej pembelajaran yang dihasilkan perlulah dalam bentuk pembelajaran kendiri yang boleh digunakan oleh individu tertentu tanpa pengajaran guru. Oleh itu, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan bagi menjadikan pakej yang dibina itu bersifat pedagogi, berkesan dan boleh meningkatkan penguasaan murid terhadap ilmu yang kita cuba sampaikan.

Perkara tersebut telah menyukarkan saya dalam pembinaan pakej pembelajaran terutama dalam aspek memilih dan merancang aktiviti pembelajaran yang bersesuaian untuk dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran tersebut. Untuk mengatasi kesulitan ini, saya telah melakukan perbincangan dan berkolaborasi dengan rakan-rakan serta pensyarah berkaitan pemilihan tajuk pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang ingin dimasukkan. Hal ini sedikit sebanyak membantu saya melaksanakan dan menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.

Di samping itu, untuk menghasilkan sesebuah laman web dan pakej pembelajaran yang dibina haruslah dimasukkan unsur yang pelbagai supaya kelihatan menarik. Sebagai contoh ialah penggunaan animasi-animasi bergerak, unsur-unsur bunyi, video dan seumpamanya. Walaubagaimanapun, penggunaan unsur-unsur yang tidak berkaitan haruslah tidak mengganggu fokus murid untuk mengikuti pembelajaran menggunakan pakej pembelajaran ini. Selain itu, reka letak bahan juga merupakan suatu aspek yang perlu ditumpukan dalam pembinaan pakej dan laman web pembelajaran ini. Reka letak yang sesuai bukan sahaja menjadikan sesebuah tapak pembelajaran itu kelihatan sangat menarik, malah akan meningkatkan pemahaman murid. Secara tidak langsung, hal ini memudahkan murid menguasai sesuatu tajuk pembelajaran. Sebaliknya, reka letak yang kurang sesuai akan menyebabkan sesebuah pakej pembelajaran kelihatan semak dan mengganggu ruang serta fokus penglihatan murid. Impaknya, murid tidak dapat memahami dengan baik terhadap tajuk pembelajaran yang disampaikan.

Dalam pada itu, saya menyedari banyak perkara perlu diterapkan ke dalam diri saya dalam memantapkan dan menyediakan diri saya untuk menempuhi dunia perguruan pada masa kelak. Dengan melakukan tugasan ini, saya dapat meningkatkan kemahiran pedagogi dalam proses untuk mencari dan memilih bahan yang sesuai untuk dimuatkan dalam laman web mahupun dijadikan sebagai bahan pengajaran. Dalam erti kata lainnya, pemilihan bahan dalam pakej pembelajaran misalnya, ia hendaklah selaras dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya murid memahami isi yang disampaikan dalam aktiviti pembelajaran tersebut. Malahan, guru juga perlu menggunakan teknik pengajaran yang pelbagai bagi menarik minat murid seterusnya membantu mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, sebagai bakal pendidik, saya perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai bekalan ilmu dan kemahiran seiring dengan peningkatan ketamadunan masyarakat kini.  Saya sedar bahawa sebagai seorang bakal pendidik, pengalaman dan  ilmu haruslah ditimba dan dicari sebanyak mungkin sebagai persediaan dan bekalan untuk dibawa ke alam pekerjaan yang sebenar nanti. Oleh itu, melalui kursus ini secara tidak langsung saya dapat mengumpul dan menyimpan sebanyak bahan yang boleh sebagai simpanan dan bekalan saya nanti untuk dijadikan sebagai bahan bantu pengajaran. Di samping itu, saya sedar bahawa sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang pelbagai, menarik serta menyeronokkan murid. Melalui kursus ini, secara langsung saya dapat belajar bagaimana untuk membina bahan yang menarik untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya menghasilkan video yang menarik sesuai dengan tajuk dan tema yang hendak di ajar oleh guru tersebut. Oleh itu, peluang dan ruang sepanjang kursus ini dilaksanakan akan saya manfaatkan sebanyak yang mungkin. Akhir kata, segala   ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki  dapat terus dikembangkan dan digunakan semaksimum yang mungkin serta diaplikasikan semasa di sekolah . Insya Allah.




1 ulasan: